MEMAHAMI AYAT SONGSANG BAHASA MELAYU
Baru-baru ini
beberapa orang guru dan pelajar telah mengemukakan pertanyaan seperti yang
berikut.
·
Boleh atau tidak ayat dimulakan
dengan “untuk”, “ dengan” dan “sambil”?
· Dahulu, ayat tidak boleh
dimulakan dengan “untuk”, “dengan”, dan “sambil”. Sekarang dah boleh ke?
·
Cikgu saya menyatakan
bahawa ayat tidak boleh dimulakan dengan “untuk” atau “dengan” tetapi ada
pula guru yang kata boleh. Yang mana betul?
|
Perkara asas dalam ketiga-tiga
soalan di atas hampir sama. Soalan tersebut secara tidak langsung memberikan
gambaran tentang kekeliruan pengguna bahasa Melayu tentang ayat. Akibatnya, ada
yang menyatakan bahawa tatabahasa bahasa Melayu selalu berubah. Makalah ini
akan memberikan penjelasan tentang kemusykilan tersebut agar pembaca tidak lagi
keliru dan tidak membuat andaian yang bukan-bukan tentang tatabahasa bahasa
Melayu.
Mengikut buku Tatabahasa Dewan, ayat
boleh terbentuk dalam susunan biasa dan boleh juga dalam susunan songsang.
Dalam susunan songsang, unsur-unsur dalam konstituen predikat yang biasanya
hadir selepas subjek dipindahkan ke hadapan subjek. Contohnya:
1. Baju kurung itu untuk
ibu saya.
2. Mereka perlu berusaha untuk cemerlang.
Ayat di atas dibina
dalam susunan biasa, iaitu subjek mendahului predikat. Sekiranya disongsangkan,
terhasillah ayat yang berikut.
1.a Untuk ibu saya baju kurung itu.
2.a Untuk cemerlang mereka perlu berusaha.
Bukankah ayat
seperti 1.a dan 2.a sudah lumrah digunakan dalam bahasa Melayu? Bacalah ayat
yang berikut dan telitilah binaan ayat tersebut apabila disongsangkan.
Bil.
|
Susunan biasa
|
Susunan songsang
|
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
|
Pelajar itu sungguh
berdisiplin.
Bungkusan itu daripada
bapa Ali.
Nasib pemuda itu amat
malang.
Encik Malek dari
tanah seberang.
Pengetua masih
belum tiba.
Mereka akan
ke luar negara.
Datuk sedang
membaca akhbar.
Saya berpegang pada
janjinya.
|
Sungguh berdisiplin pelajar
itu.
Daripada bapa Ali bungkusan itu.
Amat malang nasib pemuda
itu.
Dari tanah seberang Encik Malek.
Masih belum tiba pengetua.
Akan ke luar negara mereka.
Sedang membaca akhbar datuk.
Pada janjinya saya
berpegang.
|
Walaupun ada antara
ayat seperti ayat 1 hingga 8 di atas jarang digunakan oleh sesetengah pengguna
bahasa Melayu, tidaklah bermakna struktur ayat itu salah.
Dalam bahasa Melayu, pelajar juga
mempelajari ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk
campuran. Ayat majmuk pancangan terbahagi kepada tiga, iaitu ayat majmuk
pancangan relatif (ayat relatif), ayat majmuk pancangan komplemen (ayat
komplemen) dan ayat majmuk pancangan keterangan (ayat keterangan). Contoh ayat relatif
adalah seperti yang berikut.
9. Ali membaca buku yang baru dibelinya.
10. Mereka
bersembunyi di tempat yang kotor itu.
Kedua-dua ayat tersebut menggunakan
kata hubung relatif yang. Dalam
bahasa Melayu, perkataan yang bukan
sahaja digunakan sebagai penanda relatif tetapi digunakan juga sebagai
pengganti nama yang digugurkan daripada frasa
nama + yang.
11. Buku
yang tebal itu buku kawan saya.
12. Mereka
yang rajin belajar akan cemerlang.
Dalam ayat 11 dan 12
“buku” dan “mereka” boleh digugurkan untuk membentuk ayat yang berikut.
11.a Yang tebal itu buku kawan saya.
12.a Yang rajin belajar akan cemerlang.
Ayat komplemen menggunakan
kata hubung bahawa dan untuk seperti yang berikut.
13. Pengetua
menyatakan bahawa bangunan itu akan
dirobohkan.
14. Bahawa bangunan itu akan dirobohkan tidak
benar.
15. Untuk kami memenangi peraduan itu agak
sukar.
16. Agak
sukar untuk kami memenangi peraduan
itu.
Selain itu, terdapat
sembilan jenis ayat keterangan seperti dalam contoh yang berikut.
17. Pelajar
itu cemerlang kerana dia tekun
belajar. (musabab)
18. Budak-budak
itu bersorak sehingga suaranya serak. (akibat)
19. Razali
akan ke universiti sekiranya mendapat
tawaran. (syarat)
20. Pelajar
belum tiba ketika bumbung dewan itu
runtuh. (waktu)
21. Seman
masih belajar walaupun sudah berumur.
(pertentangan)
22. Rakyat
bersatu supaya keamanan negara
terjamin. (harapan)
23. Pelancong
ke pulau itu dengan menaiki bot laju.
(cara)
24. Dewan
itu dibina untuk kegunaan penduduk
kampung. (tujuan)
25. Pendatang itu kebingungan bagai
rusa masuk kampung. (perbandingan)
Ayat di atas dapat
ditulis mengikut susunan songsang, seperti yang berikut.
17.a Kerana
dia tekun belajar, pelajar itu cemerlang.
18.a Sehingga
suaranya serak, budak-budak itu bersorak.
19.a Sekiranya mendapat tawaran, Razali akan
ke universiti.
20.a Ketika bumbung dewan itu runtuh, pelajar
belum tiba.
21.a Walaupun sudah berumur, Seman masih
belajar.
22.a Supaya keamanan negara terjamin, rakyat
bersatu.
23.a Dengan menaiki bot laju, pelancong ke
pulau itu.
24.a Untuk kegunaan penduduk kampung, dewan
itu dibina.
25.a Bagai
rusa masuk kampung, pendatang itu kebingungan.
Setelah membaca dan memahami bentuk
ayat di atas, sila bina ayat yang berikut mengikut susunan songsang.
26. Suraya menyanyi sambil menari.
27. Kakak memotong daging dengan pisau tajam.
28. Pelajar
itu ke sekolah dengan mengayuh
basikal.
29. Orang
tua itu menaiki tangga rumahnya dengan
berhati-hati.
30. Salmah
menyampaikan pidatonya dengan suara
yang lantang.
Tegasnya, bentuk ayat di atas banyak
digunakan dan tidak menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.Terdapat juga pengguna
bahasa Melayu yang tersilap menerima penjelasan daripada pihak-pihak tertentu tentang
kesalahan ayat, seperti yang berikut.
31.* Kepada
pemenang peraduan mengarang diminta untuk melaporkan diri kepada pihak urus
setia.
32.* Bagi
mengatasi masalah itu memerlukan sokongan daripada semua pihak.
33.* Dengan
mengemukakan pelbagai sijil semasa temu duga masih gagal mendapat
pekerjaan.
34.* Tatkala
hujan turun dengan lebatnya pada petang itu.
35.* Untuk
menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pendatang asing di tempat itu.
Ayat 31 hingga 35
memang tidak tepat dan ada yang menyatakan bahawa ketidaktepatan itu disebabkan
oleh penggunaan kepada, bagi, dengan, tatkala, dan untuk di awal ayat. Sebenarnya, bentuk
itu salah kerana tidak lengkap sama ada tiada subjek atau berupa keterangan
semata-mata. Bentuk itu hendaklah dibetulkan seperti yang berikut.
31.a Kepada
pemenang peraduan mengarang, mereka
diminta untuk melaporkan diri kepada pihak urus setia.
32.a Bagi
mengatasi masalah itu, pihak kerajaan
memerlukan sokongan daripada semua pihak.
33.a Dengan
mengemukakan pelbagai sijil semasa temu duga, Roslan masih gagal mendapat pekerjaan.
34.a Tatkala
hujan turun dengan lebatnya pada petang itu, ribut petir berlaku.
35.a Untuk
menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pendatang asing di tempat itu, beberapa tindakan diambil.
Rujukilah buku tatabahasa untuk
mendapat penjelasan lanjut tentang ayat songsang. Sekiranya timbul masalah,
berbincanglah dengan mereka yang lebih mengetahuinya. Tabiat suka menyalahkan
pihak lain untuk mentutup kelemahan kita lambat-laun diketahui juga.
Terima kasih! Suatu makalah yang amat bermanfaat kepada pengguna bahasa Melayu yang mendepani kemusykilan aspek sintaksis.
ReplyDeleteterima kasih
ReplyDelete