PENJELASAN
TENTANG PERMASALAHAN BAHASA
(BAHAGIAN
1)
Dalam siri ceramah tentang penulisan karangan BM
STPM khususnya, pelbagai soalan diajukan oleh guru dan pelajar. Penulis gembira
apabila mendapati pengguna bahasa cuba mengambil berat tentang bahasa
kebangsaan. Cuma, penulis berharap agar ilmu yang diperoleh itu bukanlah semata-mata
untuk digunakan semasa menjawab soalan peperiksaan tetapi hendaklah diamalkan
supaya anda tidak tergolong dalam kalangan individu yang merosakkan bahasa
sendiri.
Soalan 1:
Sekarang, boleh ke kita
memulakan ayat dengan untuk, dengan, dan antara; dulu tak boleh
kan?
Jawapan penulis:
Penulis, terlebih
dahulu meminta pelajar menggugurkan perkataan sekarang kerana sejak dunia
ini wujud lagi, ayat boleh dimulakan dengan untuk, dengan, dan antara.
Penjelasannya
begini.
Ayat boleh dibina
dalam susunan biasa dan susunan songsang. Ayat susunan biasa, ialah ayat yang subjeknya
mendahului predikat. Contohnya:
1.
Hadiah itu untuk kawan
baiknya.
2.
Kenderaan itu dibeli untuk
kegunaan kakitangan pejabat.
3.
Murid-murid itu ke sekolah dengan
menaiki bas.
4.
Mereka sedang berbincang
dengan pengurus Syarikat Maju.
5.
Durian dan manggis adalah antara buah
yang digemari mereka.
Ayat susunan biasa 1
hingga 5 di atas dapat disongsangkan. Ayat susunan songsang ialah ayat yang
dibina dengan predikatnya mendahului subjek. Apabila ayat 1 hingga 5 di atas
disongsangkan, terhasilah ayat yang berikut.
1.a Untuk
kawan baiknya, hadiah itu.
2.a Untuk
kegunaan kakitangan pejabat, kenderaan itu dibeli
3.a Dengan
menaiki bas, murid-murid itu ke sekolah
4.a Dengan
pengurus Syarikat Maju mereka sedang berbincang
5.a Antara
buah yang digemari mereka ialah durian dan manggis.
Binaan
ayat di atas salah sekiranya tergantung, seperti yang berikut.
6.
Untuk pelajar luar
bandar yang kurang berkemampuan sahaja. ( X )
Untuk pelajar luar bandar yang kurang
berkemampuan sahaja, bantuan itu disediakan. ( / )
7.
Dengan mengemukakan alasan
yang tidak dapat diterima akal. ( X )
Dengan mengemukakan alasan yang tidak dapat
diterima akal, Ramli menafikan penglibatannya dalam kes penipuan itu. ( / )
Ayat 7 itu disongsangkan daripada ayat susunan
biasa yang berikut.
Ramli menafikan penglibatannya dalam kes
penipuan itu dengan mengemukakan alasan yang tidak dapat diterima akal. ( / )
Kebiasaannya,
dalam kejohanan sukan, pengumuman seperti ini selalu kedengaran.
8.
Kepada pemenang acara
lompat jauh dikehendaki berada di tempat penerimaan hadiah sekarang. ( X )
9.
Bagi peserta yang belum
melaporkan diri diminta hadir ke khemah urus setia dengan segera. ( X )
Ayat 8 dan 9 boleh
dibetulkan dengan menggugurkan kepada dan bagi, seperti yang
berikut.
8.a Pemenang acara
lompat jauh dikehendaki berada di tempat penerimaan hadiah sekarang juga. ( / )
9.a Peserta yang belum
melaporkan diri diminta hadir ke khemah urus setia dengan segera. ( / )
Oleh sebab terdapat
individu yang hanya memahami bahawa ayat 8.a dan 9.a, itu sahaja yang betul,
maka tersebarlah ajaran bahawa bahawa
ayat tidak boleh dimulakan dengan kepada dan bagi. Sebenarnya,
ayat 8 dan 9 boleh dimulakan dengan kepada dan bagi, seperti yang
berikut.
8.b Kepada pemenang acara
lompat jauh, anda dikehendaki berada di tempat penerimaan hadiah
sekarang. ( / )
9.b Bagi peserta yang belum
melaporkan diri, anda/saudara/saudari diminta hadir ke khemah urus setia
dengan segera. ( / )
Semoga
penjelasan ini dapat menghilangkan keraguan anda tentang kemusykilan tersebut. Pengguna
bahasa diminta menggunakan bahasa dengan betul dari segi binaan ayat,
penggunaan imbuhan, penggunaan kata sendi nama, kata hubung, ejaan dan
lain-lain. Jika kita tersilap rujuklah sumber yang berwibawa. Jika ada individu
yang mendakwa bahawa bahasa Melayu banyak mazhab, sila tanya mereka mazhab yang
dimaksudkan itu. Minta pihak yang berkenaan kemukakan perbezaan antara mazhab
yang dinyatakan itu dan sila maklumkan perkara itu kepada penulis kerana
penulis sudah lama mencarinya, namun belum lagi terjumpa.
6 Oktober 2017
No comments:
Post a Comment