KESALAHAN BAHASA
MENJEJASKAN MUTU KARANGAN
Kebanyakan pelajar melakukan kesalahan ayat apabila mengemukakan isi
karangan pada setiap permulaan perenggan. Contoh kesalahan yang dipetik
daripada karangan tiga orang pelajar adalah seperti yang berikut.
1. Faktor berlakunya pencemaran sungai
adalah berpunca daripada sikap
sesetengah orang yang tidak
bertanggungjawab. (X)
2. Kepentingan kemajuan sektor pertanian
dapat mewujudkan peluang
pekerjaan kepada penduduk tempatan. (X)
3. Kesan kemasukan pekerja asing ke negara
ini akan mengakibatkan
peningkatan kadar pengangguran dalam
kalangan penduduk tempatan. (X)
4. Antara langkah-langkah untuk menangani
pencemaran sungai ialah
menguatkuasakan undang-undang. (X)
5. Usaha untuk mewujudkan budaya penyayang
di negara ini peranan ibu bapa
terhadap anaknya. (X)
|
Kesalahan seperti di atas begitu ketara bagi sesetengah pelajar. Antara
puncanya ialah ketidakfahaman pelajar yang berkenaan tentang binaan ayat.
Sesetengah pelajar pula ketandusan idea untuk mempelbagaikan cara persembahan
isi karangan. Golongan ini hanya mengetahui satu cara mengemukakan isi
karangan, iaitu seperti menjawab soalan pemahaman. Ertinya, sekiranya soalan
karangan adalah tentang faktor, pelajar yang berkenaan tetap memulakan isi
dengan memasukkan perkataan faktor. Begitu juga bagi soalan yang berkehendakkan
langkah, kesan, punca, kepentingan, dan lain-lain. Kelemahan ini mengakibatkan
kebanyakan ayat pertama bagi setiap perenggan, tidak tepat. Kelemahan ini akan
berterusan sekiranya guru gagal menemukan cara untuk menanganinya.
Sila baca ayat 1 dengan teliti. Dalam ayat tersebut, faktor dan punca
merupakan perkara yang sama maksudnya. Jika ditanyakan faktor pencemaran
sungai, jawapannya tentulah sikap sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab;
perkataan berpunca tidak perlu dimasukkan. Isi karangan di atas dapat
dikemukakan dengan pelbagai cara, seperti yang berikut.
1.1 Antara faktor pencemaran sungai ialah
sikap sesetengah orang yang tidak
bertanggungjawab.
1.2 Pencemaran sungai berlaku disebabkan
tindakan sesetengah orang yang
tidak bertanggungjawab.
1.3 Tindakan sesetengah anggota masyarakat
yang tidak bertanggungjawab
merupakan salah satu faktor pencemaran
sungai di negara ini.
1.4 Pencemaran sungai juga berpunca daripada
sikap sesetengah orang yang
tidak bertanggungjawab.
|
Untuk menulis isi tentang
kepentingan kemajuan sektor pertanian, pelajar boleh menulis isi (ayat 2)
dengan betul. Contohnya:
2.1 Sektor pertanian ternyata dapat mewujudkan
pelbagai peluang pekerjaan
kepada penduduk tempatan.
2.2 Pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan
dengan berkembangnya
sektor pertanian.
|
Isi ketiga yang dikemukakan ialah
peningkatan kadar pengangguran sebagai salah satu kesan kemasukan pekerja asing
ke negara ini. Ayat yang dikemukakan di atas (ayat 3) gramatis sekiranya
perkataan kesan digugurkan, seperti yang berikut.
3.1 Kemasukan pekerja asing ke negara ini akan
mengakibatkan peningkatan
kadar pengangguran dalam kalangan
penduduk tempatan.
3.2 Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk
tempatan akan meningkat
akibat kemasukan pekerja asing ke
negara ini.
3.3 Antara kesan kemasukan pekerja asing ke
negara ini termasuklah
peningkatan kadar pengangguran dalam
kalangan penduduk tempatan.
|
Demikian juga halnya bagi soalan
yang berkehendakkan langkah. Pelajar boleh mengemukakan isi seperti yang
berikut.
4.1 Antara langkah untuk menangani pencemaran
sungai termasuklah
menguatkuasakan undang-undang.
4.2 Pencemaran sungai dapat ditangani dengan
penguatkuasaan undang-
undang oleh pihak yang berkenaan.
4.3 Penguatkuasaan undang-undang adalah antara
langkah terpenting untuk
menangani pencemaran alam sekitar di
negara ini.
|
Kelima-lima ayat yang dibina oleh
pelajar yang berkenaan salah kerana binaannya tidak tepat dan ada yang
maksudnya mengelirukan. Selain isi yang dikemukakan dalam ayat kelima adalah
lemah, ayat yang dibina pula kurang tepat dan maksudnya kurang jelas. Perkara
yang ingin disampaikan itu lebih tepat dan berkesan sekiranya ayatnya dibina
seperti yang berikut.
5.1 Untuk mewujudkan budaya panyayang, ibu
bapa hendaklah memainkan
peranan. Sehubungan dengan itu, ibu
bapa perlu mengamalkan nilai kasih
sayang dengan ahli keluarga.
5.2 Nilai kasih sayang dalam keluarga
hendaklah diamalkan untuk mewujudkan
budaya penyayang dalam masyarakat.
5.3 Bagi merealisasikan budaya penyayang, ibu
bapa perlu mengamalkan nilai
kasih sayang, bukan sahaja dalam
keluarga tetapi juga dengan orang lain.
5.4 Untuk mewujudkan budaya penyayang di
negara ini, ibu bapa perlu menjadi
suri teladan kepada anak-anak.
|
Selain itu, penggunaan penanca wacana secara sesuka hati begitu ketara bagi
sesetengah pelajar. Kesalahan ini berpunca daripada ketidakfahaman pelajar
tentang jenis dan penggunaan penanda wacana dalam penulisan. Sila teliti
penggunaan penanda wacana dalam perenggan karangan Pelajar X yang berikut.
Pelajar X menulis karangan tentang kepentingan
mempelajari mata pelajaran Sejarah.
Di negara ini terdapat berbagai-bagai
jenis sekolah, antaranya ialah sekolah berasrama penuh, sekolah sukan,
sekolah agama, dan sekolah harian. Walaupun jenisnya pelbagai, setiap sekolah
dikehendaki mempelajari mata pelajaran tertentu, seperti yang ditetapkan oleh
Kementerian Pendidikan. Salah satu
mata pelajaran yang dimaksudkan itu ialah Sejarah, iaitu salah satu mata
pelajaran teras. Di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
khususnya, pelajar bukan sahaja perlu mempelajarai Sejarah tetapi diwajibkan lulus
mata pelajaran tersebut sebagai syarat layak untuk mendapatkan Sijil SPM.
Pemilihan Sejarah sebagai salah satu mata pelajaran teras adalah wajar
memandangkan mata pelajaran tersebut banyak kepentingannya kepada pelajar.
|
Selain itu, dengan mempelajari
Sejarah, pelajar dapat mengenali para pejuang tanah air secara yang lebih
dekat. ....(huraian isi)
Kepentingan yang lain pula dapat
meningkatkan semangat patriotik dalam diri generasi muda. ...(huraian isi)
Sementelahan lagi, kepentingan mempelajari Sejarah ialah peristiwa
sejarah dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat kini. ...(huraian isi)
Justeru itu, Sejarah dapat menambahkan
pengetahuan tentang tempat-tempat bersejarah di negara ini. ...(huraian isi)
|
Pelajar X dapat menghasilkan pendahuluan karangan dengan baik sekali. Namun
begitu, cara pelajar tersebut mengemukakan isi karangan sememangnya tidak
tepat. Sila baca empat petikan cara memulakan isi karangan di atas. Sesetengah
pelajar beranggapan bahawa setiap perenggan mesti bermula dengan penanda
wacana. Oleh sebab itu, Pelajar X memulakan isi pertama karangan (selepas
pendahuluan) dengan penanda wacana Selain itu. Pelajar yang
berkenaan tidak memahami bahawa Selain itu merupakan penanda penghubung
tambahan dan tidak sesuai digunakan untuk memulakan isi pertama karangan.
Tegasnya, penanda wacana tersebut seharusnya digunakan untuk menyatakan isi
tambahan, selepas isi pertama.
Pelajar X tidak menggunakan penanda
wacana untuk memulakan isi kedua. Namun begitu, ayat yang dibina juga tidak
tepat kerana tiada subjeknya. Ayat tersebut seharusnya dibetulkan seperti yang
berikut.
Mata pelajaran Sejarah juga dapat
meningkatkan semangat patriotik generasi muda, khususnya pelajar.
|
Penanda wacana yang digunakan pada
permulaan ayat untuk menyatakan isi ketiga (Sementelahan lagi)
dan isi keempat (Justeru itu) ternyata tidak sesuai. Berdasarkan
Kamus Dewan, sementelahan merupakan perkataan daripada sastera lama yang
bermaksud tambahan pula. Justeru pula diberikan dua makna. Makna
pertama ialah kebetulan, tepat, atau kena benar, manakala makna kedua ialah
malahan dan bahkan. Sila teliti contoh
ayat yang tercatat dalam kamus tersebut.
Aku tidak sanggup hendak ke kuala kerana
tidak sedap badan sementelahan pula hari hujan.
Sekali-kali tidak pernah saya mencaci
dia, justeru saya puji dia.
|
Berdasarkan maksud dan contoh ayat yang
dinyatakan di atas, nyatalah bahawa kedua-dua penanda wacana yang digunakan
oleh Pelajar X di atas tidak tepat. Alasan bahawa justeru
digunakan secara meluas oleh pengguna bahasa tidak boleh diterima. Layakkah
kita mengungkapkan slogan Cintailah Bahasa Kita sedangkan peraturan bahasa yang
tersedia kita ketepikan begitu sahaja?
No comments:
Post a Comment