Wednesday, October 11, 2017

PENDAHULUAN KARANGAN



PENDAHULUAN KARANGAN YANG BERKUALITI
Semasa mengendalikan ceramah atau perbengkelan, penulis cuba mendapatkan pandangan pelajar tentang konsep pendahuluan karangan berdasarkan pemahaman masing-masing. Setelah “dipujuk”, kedengaranlah suara seorang dua pelajar yang menyatakan definisi. Berasaskan pemahaman yang seringkas itu daripada ratusan pelajar, yakinlah penulis bahawa mereka tidak menguasai ilmu kepengarangan yang diajarkan guru.
            Bagi penulis, pendahuluan ialah gambaran umum tentang tajuk. Gambaran tersebut seharusnya mencakupi aspek definisi atau konsep tentang perkara yang difokuskan dalam soalan. Bagi menjelaskan konsep yang dimaksudkan itu, pelbagai maklumat sokongan wajar diselitkan, antaranya ialah contoh, perangkaan, peribahasa, cogan kata, pendapat tokoh, dan lain-lain yang berkaitan. Ayat terakhir pendahuluan itu pula seharusnya menampakkan perkara yang akan ditulis dalam bahagian isi karangan, sama ada faktor, kesan, langkah, dan lain-lain. Pelajar diingatkan agar tidak mencampuradukkan isi dalam bahagian pendahuluan.

Sila baca soalan dan cadangan isi karangan yang berikut.

NO.

SOALAN

CADANGAN ISI

1

Walaupun usaha untuk menggalakkan anak muda mempelajari seni pertahanan diri dilakukan, sambutan mereka terhadap seni tersebut kurang menggalakkan.
Pada pandangan anda, apakah kepentingan mempelajari seni pertahanan diri? Jelaskan langkah-langkah yang difikirkan berkesan untuk menggalakkan anak-anak muda mempelajari seni tersebut.


1.  Mempertahankan diri
2.  Mengisi masa lapang
3.  Membantu menyihatkan badan
4.  Mengekalkan warisan bangsa

1.  Ibu bapa hendaklah menggalakkan
     anak-anak mempelajari seni tersebut
2.  Pihak sekolah perlu menjadikan seni
     tersebut sebagai aktiviti kokurikulum
3.  Kerajaan seharusnya mengadakan
     Kempen Cintailah Seni Pertahanan Diri


PENDAHULUAN CONTOH (1)

     Kebanyakan kaum di Malaysia mempunyai seni pertahanan diri tertentu. Jika orang Melayu terkenal dengan seni silat dan orang India sinonim dengan silambam, wushu pula popular dalam kalangan orang Cina. Walaupun begitu, kini, sambutan orang ramai terhadap seni tersebut kurang menggalakkan. Perkembangan dunia hiburan yang begitu menggalakkan ditambah pula dengan kesibukan individu mengejar kebendaan adalah antara punca perkara ini terjadi. Memandangkan seni pertahanan diri banyak kepentingannya kepada individu, masyarakat, dan negara, maka langkah untuk menggalakkan anak muda mempelajarinya perlu dilakukan dengan berkesan.          
(81 patah perkataan)
           

NO.

SOALAN

CADANGAN ISI

2

Pertambahan bilangan kemasukan pelancong asing ke negara ini pada setiap tahun membuktikan industri tersebut kian berkembang di Malaysia.
Huraikan kepentingan perkembangan industri pelancongan kepada masyarakat dan negara ini. Cadangkan langkah yang dapat dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.


1.  Mewujudkan peluang pekerjaan
2.  Menambahkan pendapatan negara
3.  Memajukan industri kraf tangan
4.  Meningkatkan imej negara

1.  Mengadakan kempen
2.  Membaik pulih dan membuka lebih
     banyak destinasi pelancongan
3.  Menawarkan pakej pelancongan
4.  Menyediakan pelbagai kemudahan
     ke destinasi pelancongan

PENDAHULUAN CONTOH (2)

     Industri pelancongan bukanlah perkara baharu di Malaysia. Kemasukan pelancong asing dari seluruh pelosok dunia, terutama dari Eropah kian meningkat dari setahun ke setahun. Mereka memilih pulau, pantai, air terjun, hutan lipur dan pelbagai tempat sejarah di negara ini untuk dikunjungi. Oleh sebab itulah, Pulau Langkawi, Gua Niah, Pantai Cahaya Bulan dan Taman Negara adalah antara destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan pelancong asing. Perkembangan industri ini ternyata mendatangkan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara. Menyedari hakikat ini, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.                                                                                              (90 patah perkataan)

Soalan 1 dan 2 di atas mengandungi dua tugasan soalan, iaitu kepentingan dan langkah. Sila baca kedua-dua pendahuluan contoh di atas. Adakah pendahuluan tersebut menepati kaedah penulisan seperti yang diperkatakan? Sekiranya ada kemusykilan atau pandangan, sila kemukakan.

Sila baca dan fahami pendahuluan bagi tajuk karangan yang berikut.


3.   Sesetengah negara melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik sokongan pihak tertentu agar terpilih menjadi tuan rumah sukan yang bertaraf antarabangsa. Pada pandangan anda, apakah kebaikan sesebuah negara menjadi tuan rumah sukan yang bertaraf antarabangsa? Jelaskan.

PENDAHULUAN 3

     Sejak dahulu lagi, sukan dipertandingkan di pelbagai peringkat bermula dari peringkat sekolah sehinggalah peringkat antarabangsa. Antara kejohanan sukan peringkat antarabangsa yang popular ialah Sukan Komanwel, Sukan Olimpik, Kejohanan Badminton Piala Thomas, dan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia. Untuk menganjurkan kejohanan sukan yang sedemikian, berbagai-bagai persediaan perlu dilakukan dengan perbelanjaan yang bukan sedikit. Walaupun begitu, banyak negara menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kejohanan sukan tersebut kerana negara yang terpilih menjadi tuan rumah kejohanan sukan yang berprestij ini memperoleh pelbagai faedah, khususnya dalam jangka panjang.  (84 patah perkataan)

           
4.  Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menggalakkan orang ramai bersukan, termasuklah menyediakan pelbagai infrastruktur sukan. Situasi ini menunjukkan bahawa aktiviti bersukan penting kepada masyarakat dan negara. Jelaskan kepentingan aktiviti bersukan kepada masyarakat dan negara.

PENDAHULUAN 4

     Secara umumnya, di mana-mana sahaja kita berada, kita dapat melihat orang bersukan, sama ada bermain bola sepak, bermain badminton, ataupun sekadar berjoging. Aktiviti ini boleh dilakukan oleh kanak-kanak, orang dewasa, dan juga orang tua. Pihak kerajaan pula telah menyediakan pelbagai kemudahan, misalnya padang permainan, gelanggang badminton, kolam renang, dan lain-lain untuk membolehkan orang ramai bersukan. Di sekolah pula, sejak awal lagi pelajar didedahkan kepada mata pelajaran khusus yang berkaitan dengan sukan, iaitu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Situasi ini menunjukkan bahawa sukan mempunyai pelbagai kepentingan kepada masyarakat dan negara.                                                                           (88 patah perkataan)


5. Selain memberikan tumpuan kepada aspek kurikulum, murid sekolah juga dikehendaki mengambil bahagian dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini disebabkan kegiatan kokurikulum banyak mendatangkan faedah kepada murid. Jelaskan faedah penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.

PENDAHULUAN 5

     Sekolah merupakan institusi penting untuk membentuk murid agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa, agama, dan negara. Di sekolah, murid bukan sahaja mempelajari mata pelajaran akademik tetapi diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu persatuan atau kelab dan satu unit beruniform. Antara persatuan yang dimaksudkan itu ialah Persatuan Bahasa, Persatuan Sejarah, Kelab Fotografi, Kelab Rekreasi, dan lain-lain. Selain itu, Pertubuhan Pengakap, Kadet Remaja Sekolah, Kadet Polis, dan Renjer Puteri pula adalah antara unit beruniform yang ditubuhkan di kebanyakan sekolah di negara ini. Penglibatan murid dalam organisasi tersebut dipercayai banyak mendatangkan faedah.   
(89 patah perkataan)



6.   Dari semasa ke semasa banyak pekerja asing masuk ke negara ini. Kemasukan mereka telah menimbulkan berbagai-bagai kesan kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat anda, apakah kesan yang dialami oleh masyarakat dan negara ini ekoran kemasukan pekerja asing secara yang berleluasa?

PENDAHULUAN 6

     Negara kita, Malaysia sudah mencapai kemerdekaan kira-kira 60 tahun yang lalu. Kini, sebagai negara membangun, banyak projek pembangunan didirikan di Malaysia. Dengan demikian, pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang-bidang tertentu telah wujud di negara ini. Oleh sebab kebanyakan rakyat tempatan tidak meminati bidang-bidang tertentu, maka pekerja asing dibawa masuk ke negara ini. Oleh sebab itulah, kini pekerja asing, terutama dari Indonesia, Thailand, dan Myanmar memonopoli sektor perladangan dan pembinaan di negara ini. Kedatangan mereka ke negara kita ternyata mendatangkan pelbagai kesan kepada rakyat dan negara. 
                                                                                                                  (84 patah perkataan)


7.  Amalan membaca penting kepada orang ramai, terutama generasi muda. Oleh itu, generasi muda, khususnya kanak-kanak perlu disemai tabiat suka membaca. Pada pandangan anda, apakah langkah-langkah yang difikirkan wajar dilakukan untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

PENDAHULUAN 7

     Budaya membaca amat penting untuk melahirkan masyarakat yang berilmu. Hal ini disebabkan dalam bahan bacaan, terutama buku, majalah, dan akhbar terdapat berbagai-bagai ilmu pengetahuan sama ada yang berkaitan dengan sains, sejarah, agama, isu semasa, dan lain-lain. Kanak-kanak yang gemar membaca memperlihatkan tutur kata yang lebih matang berbanding dengan rakan sebaya mereka yang kurang membaca. Kanak-kanak yang berkenaan juga bukan sahaja mengetahui perkara yang berlaku di sekeliling mereka tetapi turut menyedari peristiwa yang berlaku di luar lingkungan tempat tinggal mereka. Berbagai-bagai langkah dapat dijalankan untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak di negara ini. (93 patah perkataan)



8.  Aktiviti penebangan hutan perlu dilakukan kerana pelbagai tujuan. Walau apa-apa pun tujuannya, aktiviti tersebut mendatangkan kesan kepada pihak-pihak yang berkenaan. Jelaskan kesan penebangan hutan kepada kehidupan manusia dan hidupan yang lain.

PENDAHULUAN 8

      Malaysia adalah antara negara di rantau ini yang mempunyai hutan tropika yang menyimpan pelbagai species flora dan fauna. Suhu yang tinggi, iaitu kira-kira 27 darjah celcius dan hujan lebat sepanjang tahun merupakan faktor penting pertumbuhan species tersebut di negara ini. Meskipun begitu, kegiatan penebangan hutan semacam sukar dielakkan disebabkan oleh arus pembangunan. Sehubungan dengan itu, hutan terpaksa ditebang untuk membina infrastruktur, mendirikan petempatan, ataupun untuk menjayakan projek pertanian berskala besar. Walau apa-apa pun tujuannya, penebangan hutan pasti mendatangkan pelbagai kesan kepada kehidupan manusia dan hidupan yang lain. (87 patah perkataan)

      Pelajar yang memiliki kreativiti yang tinggi dapat menghasilkan pendahuluan karangan yang pelbagai. 
      Sila teliti petikan pendahuluan bagi tajuk, faktor-faktor kemalangan jalan raya di negara ini.
PENDAHULUAN 9

     Berita-berita mengenai kemalangan jalan raya di negara ini kerap dilaporkan oleh media tempatan, sama ada media cetak ataupun media elektronik. Kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan di jalan raya juga didapati meningkat dari setahun ke setahun. Menurut Laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada 2014, 6674 kematian akibat kemalangan dilaporkan dan angka tersebut meningkat kepada 6706 pada tahun 2015. Purata kematian  18 orang sehari di jalan raya menampakkan bahawa jalan raya di negara ini seolah-olah menjadi pembunuh utama rakyat negara ini. Mengapakah perkara ini berlaku?
(84 patah perkataan)

PENDAHULUAN X

     Nirmala kata yang pertama ialah faedah permainan tradisional kepada masyarakat dan negara dapat menarik pelancong ke Malaysia. Justeru itu, pelancong datang ke negara ini dapat mempelajari permainan tradisional dengan penduduk kampung lantas membawa pulang permainan itu untuk diuar-uarkan di negara mereka agar menaikkan imej negara. Mayapada ini Malaysia terdiri daripada pelbagai permainan tradisional mengikut kaum dan negeri seperti wau, gasing, dan congkak. Oleh itu, permainan tradisional perlu dihidupkan semula agar warisan bangsa ini tidak luput ditelan zaman yang kini penuh dengan era globalisasi. Tuntasnya, golongan muda selaku harapan bangsa perlu mempelajari permainan tradisional agar kita tidak menyesali kemudian hari kerana sesal kemudian tidak berguna. Bak kata peribahasa, nasi sudah menjadi bubur.
 
   Dalam satu wacana kebahasaan, seorang pensyarah meminta penjelasan tentang sebab pelajar menulis seperti di atas. Salah seorang ahli mesyuarat menyuarakan pandangan bahawa memang ada guru BM yang menggalakkan pelajar menggunakan perkataan yang sedemikian, kononnya untuk memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan. 
      Bagi menjaga maruah guru BM, penulis menafikan dakwaan ahli tersebut. Penulis memberikan alasan bahawa pelajar bawah kendalian penulis sama ada pelajar tingkatan lima ataupun tingkatan enam banyak juga yang memperoleh keputusan A dalam BM meskipun penulis mengharamkan penggunaan perkataan yang sedemikian, apatah lagi sekiranya penggunaannya menyebabkan ayat tidak gramatis.

No comments:

Post a Comment