Saturday, September 23, 2017

PdP BAHASA MELAYU



SUATU PANDANGAN TENTANG PdP BAHASA MELAYU
oleh
Nawi bin Ismail

Secara umumnya, setelah menamatkan kursus pendidikan dalam bidang Bahasa Melayu (BM), individu yang berkenaan akan dilantik menjadi guru BM di sekolah. Berbekalkan teori pengajaran dan pembelajaran (pdp) yang dipelajari semasa mengikuti kursus tersebut, guru seharusnya membuat perancangan yang rapi, terutama dari segi penyediaan bahan dan aktiviti pdp berdasarkan objektif yang ditetapkan bagi sesuatu sesi pdp. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian dan laporan pihak-pihak yang berwibawa, terdapat segelintir guru yang hanya melaksanakan aktiviti latih tubi secara yang berterusan dalam pdp.
            Golongan guru yang dimaksudkan ini memetik bahan daripada buku latihan di pasaran atau daripada soalan peperiksaan yang terdahulu. Soalan tersebut akan diberikan kepada pelajar untuk dijawab dalam tempoh tertentu. Setelah masa yang ditetapkan tamat, maka guru yang berkenaan meminta pelajar menukarkan kertas jawapan dengan rakan. Guru akan membaca jawapan yang sudah pun disediakan oleh penulis buku atau skema jawapan peperiksaan dan meminta pelajar menandakan kertas jawapan sama ada betul atau salah. Pernah dilaporkan bahawa terdapat guru yang tidak membenarkan pelajar mempertikaikan jawapan yang diberikan apabila ada pelajar yang kurang berpuas hati dengan jawapan guru.
            Sebagai guru yang berpengalaman dalam pdp BM, sesekali penulis diminta untuk membuat pemantauan pdp guru BM di bilik darjah. Untuk mengajarkan karangan, penulis mendapati bahawa kebanyakan guru melaksanakan aktiviti yang berikut.


1.     Menulis soalan karangan dan meminta pelajar menyenaraikan isi karangan
        secukupnya.
2.     Membincangkan isi yang dikemukakan pelajar; guru akan memberikan isi yang
        sesuai jika isi pelajar difikirkan kurang tepat.
3.     Guru meminta pelajar menulis karangan di bilik darjah dan menyiapkannya di
        rumah.
4.    Dalam tempoh tertentu, pelajar diminta untuk menghantarkan karangan yang
       siap ditulis untuk disemak.


Untuk memastikan semua pelajar menghasilkan karangan yang lengkap amatlah sukar, kecuali bagi kumpulan pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik.  Lazimnya, jumlah karangan yang dihantar bergantung pada sikap pelajar dan ketegasan guru. Jika pelajar di sesuatu kelas itu mempunyai kesungguhan untuk belajar maka jumlah karangan yang dihantar agak banyak. Walaupun begitu, bilangannya tidak mustahil berkurang sekiranya guru tidak berbuat sesuatu terhadap pelajar yang tidak menyiapkan tugasan.
Demikianlah antara langkah atau aktiviti pdp karangan yang popular di sekolah. Penulis tidak menyalahkan kaedah tersebut dan penulis juga pernah berbuat demikian. Namun begitu, untuk menjadikan pdp karangan lebih berkesan, guru BM perlu berusaha untuk meningkatkan kreativiti masing-masing. Penulis bersimpati apabila terdapat rakan-rakan guru yang mengakui kekurangan idea untuk mempelbagaikan kaedah pdp. Bagi penulis, keikhlasan guru-guru yang berkenaan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dalam hal ini adalah positif kerana golongan ini ingin menimba ilmu. Bagi membantu rakan-rakan yang memerlukannya, penulis mencadangkan satu aktiviti pdp yang sudah pun dilaksanakan oleh penulis kepada pelajar tingkatan empat, lima, dan juga enam. Objektif pdp (80 minit) ialah pelajar dapat menulis pendahuluan karangan mengenai tajuk yang diberikan dengan betul.


1.   Mengedarkan petikan bertajuk “Racun Manis yang Membunuh” (Dewan Masyarakat
      Bil. 1/2015). Pelajar diminta membacanya dan mencatat beberapa maklumat yang
      belum diketahui mereka sebelum itu.
2.   Pelajar diminta mengemukakan dapatan mereka dan mengadakan soal jawab
      tentang perkara yang dikemukakan itu. Pelajar diminta mencatat maklumat yang
      diperoleh itu dalam buku karangan.
3.   Secara kumpulan, pelajar diminta membina soalan karangan berdasarkan tema
      bahan yang dibaca, iaitu kesihatan. Guru meminta pelajar mengemukakan soalan
      yang dibina.
4.   Berdasarkan beberapa soalan yang dikemukakan itu, guru memilih satu atau dua
      soalan dan membuat pemurnian melalui perbincangan. Guru meminta pelajar
      mengemukakan beberapa isi yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
5.   Setelah memperoleh isi yang kukuh, guru membimbing pelajar menulis pendahuluan
      karangan bagi tajuk tersebut. Guru boleh meminta pelajar merujuk kaedah menulis
      pendahuluan dan contoh pendahuluan yang telah dipelajari sebelum itu.
     
6.   Guru memilih satu atau dua pendahuluan karangan pelajar untuk dibincangkan dan
      dibuat pemurnian.

           
Apabila kaedah di atas dicadangkan kepada sekumpulan guru, ada yang mengemukakan soalan. Kalau begitu, satu masa (80 minit) itu boleh dihabiskan untuk menulis pendahuluan sahaja? Jawapannya, mengapa tidak? Penulis memberikan penjelasan dengan membandingkan guru BM dengan jurulatih bola sepak. Seorang jurulatih bola sepak tidak mungkin mengadakan perlawanan bola sepak sepanjang masa. Mereka tentu mengajar atau membetulkan cara tendangan, tandukan, gelecek bola, hantaran bola, dan lain-lain. Jurulatih bola sepak juga mungkin membimbing pemain cara meningkatkan stamina, cara bermain berpasukan, sebelum sesekali mengadakan perlawanan untuk menilai sama ada teori yang dipelajari dapat dimanfaatkan atau tidak. 
Kebanyakan guru BM menyuarakan perasaan tidak puas hati tentang kurangnya minat membaca pelajar mereka. Penulis juga mengakui hakikat ini. Dari segi realitinya, bukan pelajar sahaja yang “culas” membaca tetapi orang dewasa juga demikian. Tindakan guru memberikan petikan dan meminta pelajar membacanya, sekurang-kurang membantu pelajar memiliki maklumat. Pada masa yang sama, aktiviti ini mendedahkan kepelbagaian kosa kata, gaya bahasa, binaan ayat, penggunaan penanda wacana, dan lain-lain kepada pelajar. Sekiranya dibiasakan, masalah kekurangan maklumat, kemiskinan kosa kata dan gaya bahasa yang diperkatakan sebelum ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan.
Kepentingan aktiviti berkumpulan pula tidak dinafikan, khususnya untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian secara aktif dalam pdp. Pada masa yang sama pelajar yang lemah dapat mempelajari sesuatu daripada pelajar yang lebih berkeupayaan. Dengan menetapkan objektif pelajaran sebegitu rupa (menghasilkan pendahuluan karangan), guru dapat membimbing pelajar tentang cara menghasilkan pendahuluan karangan yang berkualiti. Dalam pelajaran yang berikutnya, guru boleh memfokuskan kaedah persembahan isi karangan. Dengan perkataan lain, guru BM juga seharusnya berperanan seperti jurulatih bola sepak; membimbing pelajar agar menguasai kecekapan dan kemahiran berbahasa satu persatu. Untuk menilai sama ada perkara yang diajarkan itu dapat diamalkan atau tidak, latihan menulis karangan yang lengkap (ujian bulanan), boleh diadakan sebelum pelajar memasuki "perlawanan akhir", iaitu peperiksaan.
Guru BM yang meminta pelajar menulis karangan lengkap pada setiap sesi pdp karangan samalah dengan jurulatih bola sepak yang melatih pemain dengan mengadakan perlawanan setiap masa. Penulis yakin bahawa tiada seorang jurulatih bola sepak pun yang berbuat demikian. Oleh hal yang demikian, kesilapan guru tentang hal ini wajar dibetulkan agar usaha yang dilakukan mendatangkan hasil yang lebih baik. 
       Kelemahan atau kekurangan idea dalam kalangan guru BM tentang pdb dapat dikurangkan sekiranya pihak yang bertanggungjawab menyedari keperluan guru BM di sekolah. Berdasarkan situasi dan suara hati guru, penulis mendapati bahawa guru BM memerlukan pertambahan ilmu, kemahiran, dan kecekapan tertentu, antaranya adalah seperti yang berikut. 

      i.     Kaedah dan aktiviti pdp yang berkesa
     ii.     Penyediaan bahan bantu mengajar
    iii.     Aktiviti pengayaan dan pemulihan
    iv.     Penyediaan soalan yang berkualit
     v.     Ilmu bahasa, terutama tatabaha
    vi.     Penulisan dan pengeditan
   vii.     Penyemakan kertas yang betul.

          Bagi membetulkan keadaan, tindakan menyalahkan mana-mana pihak tidak menjanjikan keuntungan. Sekiranya perkara di atas benar-benar diperlukan, penulis yakin bahawa pihak yang berkenaan di Jabatan Pendidikan tidak mungkin berdiam diri. Melalui kerjasama yang baik antara guru dengan pihak jabatan, kursus atau perbengkelan tentang satu atau dua perkara di atas dapat dilaksanakan.

Makalah ini dihantar kepada Pelita Bahasa.
September 2017

3 comments:

  1. salam cikgu, nak nombor fon boleh tak, nak temubual cikgu...

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum cikgu, boleh saya minta izin untuk temubual cikgu

    ReplyDelete